Sejarah Iskandar Puteri

Projek ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Februari 2007[3]. Iskandar Puteri merupakan bandar baru yang dibentuk di Daerah Johor Bahru dengan banyak pembangunan yang kini sedang berkembang pesat. [4]

Pembangunan Iskandar Puteri merupakan salah satu daripada lima zon pembangunan utama dalam projek pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada November 2006. Projek seluas 9,600 hektar yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 itu melibatkan komponen-komponen seperti Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (Kota Iskandar), kelompok industri dan logistik selatan, hab perubatan dan ‘EduCity’ atau banda raya ilmu. Pembangunan lain dalam projek yang dimajukan oleh UEM Land Sdn. Bhd. itu ialah resort bersepadu pesisir pantai Puteri Harbour, kawasan kediaman dan destinasi rekreasi bertaraf dunia. Kedudukannya yang hampir dengan lima pelabuhan iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang, Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura, Pelabuhan Jurong (Singapura) dan pelabuhan petrokimia Tanjung Langsat memberikan Iskandar Puteri kelebihan sebagai bandar raya serantau.